CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Jumaat, 27 November 2009

::Erti Sebuah Pengorbanan::


Anas bin Malik r.a berkata:Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya.Pada kedua-duanya mereka berseronok dan bergembira di masa jahiliyyah.Lalu baginda bersabda:-

(إن الله قد أبدلكم بهما خيرا منهما يوم الأضحى ويوم الفطر)

"Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik,iaitu hari raya Aidil Adha dan Aidil Fitri".-Hadis riwayat al-Nasaai,di dalam Sunan al-Nasa'i,hadis no:959.

Hari Raya Aidil Adha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam selain Hari Raya Aidil Fitri.Antara keistimewaan Aidil Adha dan Hari Tasyriq ialah ibadat korban.Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha pada 10 Zulhijjah sehingga sebelum tenggelam matahari pada 13 Zulhijjah.

Aidil Adha juga diberi gelaran sebagai hari raya haji kerana ia diraikan ketika umat islam mengerjakan rukun islam ke-5,iaitu ibadah haji.Disamping itu,Aidil Adha juga dikenali sebagai hari raya korban kerana antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta,lembu,kambing dan biri-biri.Ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah Allah.Di sinilah bermulanya titik besar sebuah pengorbanan.

Terdahulu dari itu,Nabi Ibrahim a.s merupakan rasul yang amat cinta kepada Allah s.w.t.Namun cinta suci Ibrahim kepada Tuhannya semacam teruji dengan kehadiran seorang cahaya mata yang telah sekian lama ditunggu,iaitu Ismail.Setelah lanjut usia dan lama hidup tanpa zuriat,kehadiran Ismail,anaknya bersama si isteri,Hajar telah meragut sedikit ruang hati yang sebelum ini tepu dengan cinta yang tinggi kepada Allah s.w.t.

Lalu Allah menguji.Apakah kehadiran Ismail dalam hidup Ibrahim telah mengubah dan mengurangkan cinta kepada Dia...?

Ibrahim diuji....diuji pada perintah menyembelih anaknya sendiri!!Seorang bapa diperintahkan meletakkan senjata tajam di tengkuk anak kesayangannya sendiri,yang selama ini dijaga dengan penuh kasih sayang,bagai ditatang di anak lidah,jauh dari duri dan bahaya kehidupan.

"Teruskan ayahanda,nescaya engkau akan dapati aku ini dari kalangan mereka yang sabar",seru Ismail kepada ayahandanya.Seruan yang bukan calang-calangnya.Keyakinan yang datang dari cinta dan taat yang tinggi kepada Allah s.w.t.

Setelah jazam niat dan azam Ibrahim,terbuktilah cintanya kepada Allah tidak tergugat dengan kasihnya sebagai seorang ayah kepada si anak bernama Ismail.Perintah menyembelih Ismail digantikan dengan binatang ternakan yang seterusnya menjadi sunnah amalan seluruh ummah selagi mana mentari di ufuk timur dan barat masih menyinar,selama mana bulan masih bercahaya,hinggalah ke akhir zaman.

Dapat disimpulkan di sini bahawa pengorbanan,hanya akan berlaku kerana kesan cinta yang mendalam.Dan cinta hakiki hanya terbit dari iman yang mekar dan subur di dalam jiwa.

Memberi dan berkorban.....adalah merupakan manifestasi cinta dan kasih.Tanpa kasih,memberi itu pahit,dan berkorban itu suatu penyeksaan......waallu'alam....(",)